Automotive Services

RFID di Lebuhraya PLUS — Bagaimana ia berfungsi? Kalau gagal diimbas dan baki tak cukup? Apa ANPR?

Penggunaan RFID untuk bayaran tol di Lebuhraya PLUS dari Juru ke Skudai akan mula dilaksanakan 15 Januari 2022. Ini adalah langkah permulaan ke arah sistem tol aliran bebas lorong tunggal (SLFF) dan kemudiannya kepada sistem aliran bebas multi-lorong (MLFF).

Pengenalan RFID ini juga bermakna kutipan tol melalui Touch ‘n Go dan SmartTAG akan dimansuhkan secara berperingkat, dengan kerajaan mensasarkan tempoh menjelang penghujung 2023. Disebabkan itu, pengguna perlu beralih kepada RFID juga nanti.

Dengan ini maka akan ada banyak persoalan dan keresahan yang bakal disuarakan oleh pengguna sepanjang tempoh peralihan tersebut. PLUS baru-baru ini mengadakan sesi taklimat untuk memperjelaskan dengan lebih terperinci program RFID ini serta usaha lain yang turut akan diadakan nanti.

Bagaimana RFID berfungsi di lebuhraya PLUS?

Sistem bayaran tol RFID bukanlah baru di lebuhraya kita, misalnya di Lebuhraya Pantai Baru (NPE) dan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE). Lebuhraya ini menggunakan sistem tol terbuka, yang mengecaj kadar tol tetap berdasarkan kelas kenderaan.

Bagaimanapun, Lebuhraya Utara-Selatan menggunakan sistem tol tertutup yang mengenakan caj berdasarkan jarak perjalanan antara susur masuk-keluar — pelaksanaan RFID untuk sistem tol tertutup inilah yang baru untuk pengguna.

Kaedah bagi kedua-dua sistem ini agak mudah. Dalam sistem tol terbuka, ketika melalui lorong khusus RFID, pengimbas akan merakam maklumat RFID kenderaan dan bayaran tol akan ditolak daripada Touch ‘n Go eWallet.

Bagi sistem tol tertutup pula, pengimbas akan merekodkan titik masuk kenderaan anda dan ketika keluar di plaza tol lain, caj tol akan dikenakan berdasarkan jarak yang dilalui dan akan dipotong dari Touch ‘n Go eWallet. Ini kaedah yang sama jika menggunakan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG — bezanya anda tidak perlu menyentuh kad atau memastikan SmartTAG ada cukup bateri. RFID ini tidak memerlukan sumber tenaga luar untuk beroperasi.

Dengan sistem RFID, PLUS memaklumkan ia mampu memproses sehingga 1,200 transaksi sejam, 20% lebih berbanding SmartTAG. Bagi ketersediaan lorong, laluan Juru-Skudai mempunyai 159 lorong RFID di 73 plaza tol akan dibuka pada 15 Januari 2022 nanti. Ini akan menjadi tambahan kepada 20 lorong RFID sedia ada yang digunakan di sembilan plaza tol lebuhraya lain yang dikendalikan oleh PLUS.

Dengan pelaksanaan ini, lorong Touch ‘n Go dan SmartTAG masih terus beroperasi sepanjang tempoh peralihan RFID ini. PLUS memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan Touch ‘n Go dan pihak lain untuk mempromosi penerapan RFID menerusi pelbagai kempen pemasaran untuk mencapai sasaran 60% penggunaan menjelang hujung 2022.

Sistem RFID berfungsi dengan ANPR. Apakah itu?

Dengan sistem RFID merupakan kaedah utama untuk mengesahkan titik masuk dan keluar untuk mengira caj tol, ada dua lagi kaedah lain untuk berurusan dengan situasi khusus. Yang pertama adalh sistem pengesanan nombor plat automatik (ANPR), yang menggunakan kamera untuk menangkap gambar kenderaan, dengan terus mengesan nombor platnya.

PLUS memaklumkan semua lorong plaza tolnya akan dilengkapi dengan sistem ANPR, baik yang khusus untuk RFID, Touch ‘n Go atau SmartTAG sebagai cara alternatif untuk merekodkan titik keluar-masuk kenderaan. Kemaskini turut dilakukan secara berterusan untuk meningkatkan kemampuannya.

Bagaimanapun, tidak semua kenderaan mempunyai nombor plat yang berada dalam keadaan baik dan juga mengikut piawaian sepatutnya, yang akan memberi kesan kepada sistem untuk mengesannya dengan cekap. Disebabkan ini, PLUS menyediakan kaedah lain dalam bentuk pusat pengesahan khusus di mana petugas akan menyelesaikan sebarang masalah pengesanan dan memastikan caj yang dikenakan adalah betul.

Bagaimana jika tidak mempunyai baki yang cukup dalam TnG eWallet untuk keluar plaza tol?

Dalam situasi baki TnG eWallet anda tidak mencukupi ketika ingin keluar di plaza tol, anda hanya perlu menambah nilai melalui aplikasi TnG eWallet dalam telefon pintar sahaja. Atau, anda boleh juga mempertimbangkan untuk mengaktifkan fungsi auto-reload yang akan membuat tambah nilai automatik kepada TnG eWallet anda jika telah mencapai tahap tertentu.

Bagaimana sekiranya tag RFID gagal diimbas di plaza tol?

Jika tag RFID gagal dibaca di plaza tol disebabkan masalah pengimbasnya, atau oleh kegagalan kuasa serta masalah rangkaian, setiap plaza tol akan mempunyai staf khidmat pelanggan dengan pengimbas RFID mudah alih untuk membaca tag kenderaan anda secara manual. Itu tidak menjadi masalah, terutama untuk menentukan kadar tol yang perlu dicaj.

Apa berlaku sekiranya masuk menggunakan TnG atau SmartTAG dan keluar menggunakan RFID, dan sebaliknya?

Dalam situasi seperti itu, gambar kereta anda yang diambil oleh sistem ANPR akan digunakan untuk mengesahkan titik masuk dan keluar, dan kemudiannya sistem akan menentukan kadar tol yang perlu dibayar. Proses ini mudah, tetapi sekiranya ada masalah berbangkit, pusat pengesahan akan dirujuk untuk menyelesaikannya.

Perlu juga difahami, jika anda masuk ke lebuhraya PLUS menggunakan TnG atau SmarTAG dan keluar menggunakan RFID, sistem tidak akan menolak kadar tol dari kad TnG. Ini kerana, sistem ANPR akan menentukan lokasi masuk dan keluar anda, dan caj tol akan ditolak dari TnG eWallet. Transaksi perjalanan itu akan dikira selesai, maka menggunakan kad TnG di lokasi masuk yang lain selepas itu akan memulakan transaksi baru.

Mudahnya, lokasi keluar adalah di mana banyak perkara dinilai untuk menentukan kadar tol anda, dengan RFID akan mengesahkan maklumat, diikuti dengan nombor plat dan sekiranya masih ada masalah, pusat pengesahan akan membantu.

Masih akan dapat kumpul PLUSMiles melalui RFID ini?

Ya. Anda hanya perlu menghubungkan tag RFID kereta anda kepada akaun keahlian PLUSMiles sama seperti yang dilakukan untuk kad PLUSMiles dan TnG.

Ada rancangan untuk sokongan PayDirect bagi lorong TnG atau SmartTAG di Lebuhraya PLUS?

PLUS sedang giat bekerjasama dengan TnG untuk menawarkan kaedah bayaran lain seperti PayDirect, serta sokongan untuk bayaran dengan kad kredit untuk membolehkan bayaran langsung tanpa perlu tambah nilai. Bagaimanapun belum ada tempoh yang ditetapkan untuk itu. Buat masa sekarang, hanya tambah nilai secara manual atau automatik sahaja untuk baki TnG eWallet.

Bagaimana dengan pengguna lain yang mengikut rapat untuk elak bayar tol?

Ini bukan perkara baru. PLUS akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang didapati melakukan kesalahan itu. Dengan sistem ANPR dan sistem pemantauan lain yang ada, golongan yang mengelak daripada membayar tol ini tidak akan dapat melepaskan diri daripada dihukum.

The post RFID di Lebuhraya PLUS — Bagaimana ia berfungsi? Kalau gagal diimbas dan baki tak cukup? Apa ANPR? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.