Tindakan pengiring (marshal) konvoi motosikal berkuasa tinggi yang memberhentikan kenderaan awam di persimpangan lampu isyarat di jalan raya lampu isyarat Sua Betong menghala ke Bulatan Sunggala Telok Kemang, Port Dickson, telah menerima banyak kecaman dari netizen selepas video mengenai isu ini tular di laman media sosial sejak semalam.
Bahkan, perkara ini turut mendapat perhatian Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan ia telah disahkan sendiri oleh Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed yang berkata rakaman video berdurasi satu minit 10 saat yang dimuat naik ke laman sosial Facebook oleh pemilik akaun Epul Adam Helmet Bajet yang menunjukkan aksi marshal mengawal dan memberhentikan kenderaan awam di persimpangan lampu isyarat Sua Betong.
“Ketika kejadian, lampu isyarat jelas berwarna merah dan tujuan tindakan marshal dipercayai bertujuan untuk memberi laluan kepada sekumpulan penunggang motorsikal berkuasa tinggi yang bergerak secara konvoi bagi melepasi lampu isyarat tersebut.
“Pergerakan motorsikal berkuasa besar ini dari Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (SPDH) menghala masuk melalui Lampu Isyarat Sua Betong menghala ke Bulatan Sunggala Telok Kemang,” katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan.
Tambahnya lagi, polis sedang mengesan individu yang bertindak sebagai marshal berkenaan dan sesiapa yang memiliki maklumat berkaitan kejadian diminta beri kerjasama kepada pihak IPD PORT Dickson di Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik atau menghubungi talian terus di talian 06-6472222.
“Peserta konvoi kenderaan tidak boleh membuat sebarang tindakan memberhentikan, mengawal, melencong kenderaan di jalan awam tanpa sebarang kehadiran anggota atau pegawai polis kerana boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Polis dan Sekyen 79(2)Akta Pengangkutan Jalan 1987.
The post Polis cari ‘marshal’ yang hentikan kenderaan di lampu isyarat bagi beri laluan konvoi motor besar di PD appeared first on Paul Tan’s Automotive News.