Automotive Blogs

Lexus RZ SUV elektrik ditunjuk buat pertama kali — tiga lagi model EV, termasuk sebuah kereta sport

Sebagai sebahagian pendedahan kenderaan elektrik besar-besaran Toyota yang diumumkan, ia juga merupakan kali pertama dunia melihat Lexus RZ. Kenderaan elektrik pertama jenama tersebut bakal diumumkan sepenuhnya pada separuh pertama 2022.

RZ (Z bermaksud “zero”) merupakan versi produksi model konsep LF-Z Electrified, dengan penggayaan yang lebih realistik. Banyak aspek rekaan masih dikekalkan dari model konsep tersebut, termasuk “spindle body” di bahagian depan, panel hitam di bawah lampu utama yang tajam, lengkung roda luas, serta lampu belakang kelebaran penuh.

Belum ada perincian yang didedahkan setakat ini, namun proporsi kereta terbabit yang mirip Toyota bZ4X mencadangkan bahawa ia bakal menggunakan platform electrified Toyota New Global Architecture (e-TNGA), yang turut dikongsi dengan Subaru Solterra. Apa yang membezakannya adalah sistem janaan — RZ 450e mungkin akan menjana lebih daripada kuasa maksimum bZ4X 160 kW (215 hp).

Bayangan daripada lencana Direct4 pula, RZ 450e kemungkinan besar akan datang dengan sistem janaan semua roda, dikuasakan dengan motor elektrik di setiap gandar. Ini teknologi yang sama ditemukan pada LF-Z, yang dikatakan mampu memberikan output 400 kW (536 hp) dan 700 Nm tork.

Angka itu memadai untuk membolehkan LF-Z memecut 0-100 km/j dalam masa tiga saat. Bateri lithium-ion 90 kWh memberukan jarak perjalanan WLTP sekitar 600 km, menurut Lexus.

RZ hanyalah permulaan kepada model elektrik Lexus, memandangkan syarikat itu mensasarkan penawaran barisan EV penuh menjelang 2030 — dengan rancangan syarikat untuk memperkenalkan kenderaan bateri elektrik (BEV) 100% bagi jualan di Eropah, Amerika Utara dan China. Ia kemudiannya akan dilanjutkan ke pasaran lain menjelang 2035.

Untuk melakukan itu, syarikat berkenaan mempunyai barisan model baru dalam persediaan, diketuai oleh sebuah kereta sport elektrik yang akan mempunyai ghairah pemanduan yang disemai sejak pembangunan model LFA. Coupe rendah ala Supra itu dikatakan mampu mencecah 0-100 km/j dalam masa dua saat dengan jarak perjalanan 700 km.

Lexus juga memaklumkan kereta tersebut turut dibangunkan untuk penggunaan bateri solid-state. Rasa pemanduan kereta sport itu kemudiannya akan disebarkan pula kepada model elektrik lain, yang turut akan melibatkan kereta sedan dan SUV besar — tidak lupa wagon, crossover dan covertible.

The post Lexus RZ SUV elektrik ditunjuk buat pertama kali — tiga lagi model EV, termasuk sebuah kereta sport appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Did you miss our previous article…
https://karltwiford.net/?p=5306