Automotive Services

Lancia Delta Evo-e RX – jentera lumba ‘bangkit dari kubur’ untuk sertai Kejohanan Rallycross Dunia!

Ya, memang sebelum ini Stellantis sudahpun mendedahkan rancangan mereka untuk menghidupkan semula jenama Lancia, dan mereka akan menghasilkan model generasi baharu Lancia Delta sebagai sebuah kereta elektrik sepenuhnya. Tapi berita yang anda bakal baca ini tiada kaitan langsung dengan rancangan Stellantis berkenaan.

Firma kejuruteraan perlumbaab dari Perancis, GCK Motorsport mengumumkan mereka bakal menyertai Kejohanan Rallycross Dunia (WRX) tahun hadapan, dan memilih jentera klasik Lancia Delta Integrale untuk bertanding dengan jentera-jentera terkini!

Bagi yang belum mengetahui, WRX bakal menggunakan undang-undang baharu pada musim hadapan, menyaksikan kesemua jentera yang bertanding dalam kelas tertinggi adalah dijana dengan kuasa elektrik sepenuhnya, menggunakan undang-undang yang digelar RX1e.

GCK Motorsport menggunakan asas Lancia Delta Integrale sebenar, dan bukannya sebuah jentera baharu yang kelihatan seperti kereta klasik tersebut. Sama seperti jentera-jentera RX1e yang lain, kereta lumba yang digelar sebagai Delta Evo-e RX dari GCK Motorsport ini turut menerima kit rangkaian kuasa dua motor elektrik pacuan empat roda yang dibangunkan oleh Kreisel Electric dari Austria, menghasilkan 500 kW atau 680 hp.

Ini bukan kali pertama GCK Motorsport menyertai Kejohanan Rallycorss Dunia berkenaan, malah telahpun bertanding dalam siri tersebut sejak 2017. GCK Motorsport juga sebenarnya turut terlibat dengan kerja-kerja restomod untuk pelanggan, iaitu merestorasi Lancia Delta dalam masa yang sama menukar enjin pembakaran dalaman jentera tersebut kepada unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya.

“Saya sangat teruja untuk GCK kerana kembali ke Kejohanan Rallycross Dunia FIA di bawah undang-undang elektrik baharu,” kata pemilik pasukan GCK Motorsport, Guerlain Chicherit.

“Format perlumbaan itu sendiri telah sempurna untuk memberikan salah satu cara yang paling mengujakan dengan kereta elektrik setakat ini, dan kami pilih Lancia Delta Integrale kerana ia adalah kenderaan yang membuat kita semua bermimpi.

“Ia adalah kereta rali yang cemerlang – tanpa ragu-ragu ia merupakan yang paling hebat di eranya – dan antara salah satu yang kekal sangat popular sehingga hari ini,” jelas Chicherit lagi

Lancia merupakan jenama dari Itali dan sangat sinonim dengan dunia perlumbaan rali pada era 70’an dan 80’an, lebih-lebih lagi ketika era kegemilangan jentera Group B WRC. Selepas Group B dihentikan pada tahun 1986 dan diharamkan terus untuk musim 1987, setelah pemandu Lancia sendiri (ketika itu menggunakan Lancia Delta S4) iaitu, Henri Toivonen dan juruarahnya Sergio Cresto maut dalam satu kemalangan di Rali Tour De Corse, FIA telah menggantikannya dengan kategori Group A sebagai kategori tertinggi dalam WRC.

Lancia Delta Integrale dilihat mendominasi era awal untuk Group A berkenaan dengan memenangi lapan gelaran juara dunia WRC antara 1988 hingga 1992 – lima gelaran juara untuk kategori pengeluar dan tiga gelaran juara dunia WRC kategori pemandu yang dirangkul oleh Juha Kankkunen dan Miki Biasion.

The post Lancia Delta Evo-e RX – jentera lumba ‘bangkit dari kubur’ untuk sertai Kejohanan Rallycross Dunia! appeared first on Paul Tan’s Automotive News.