Automotive Maintenance

JPJ tawar 80% diskaun saman boleh dikompaun mulai 9-12 Dis sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan pemberian diskaun sehingga 80% bagi semua Notis Saman JPJ (yang boleh dikompaun), kecuali kes-kes yang masih dalam sebutan pihak Mahkamah termasuk yang berstatus waran tangkap atau perbicaraan. Pemberian diskaun ini adalah bersempena acara 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang akan diadakan pada 9 sehingga 12 Disember 2021 dan dirasmikan oleh Perdana Menteri, di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Kuala Lumpur.

Selain itu, JPJ juga akan menyediakan kemudahan Mobile Unit JPJ dan Kiosk JPJ, untuk tujuan memudahkan orang ramai di dalam melaksanakan urusan transaksi JPJ di lokaliti KLCC, Kuala Lumpur, sepanjang berlangsungnya program tersebut.

Menurut JPJ lagi, kemudahan pengurangan saman kompaun ini juga akan diberikan di semua Pejabat JPJ di seluruh negara, untuk tempoh empat hari tersebut sahaja. Pengurangan kadar kompaun adalah diberikan kepada semua saman bagi kesalahan yang boleh dikompaun seperti disenaraikan di dalam Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan (Pengkompaunan Kesalahan) 2003, kecuali kepada kes-kes yang telah didaftarkan di mahkamah termasuk yang berstatus waran tangkap yang belum Dilepaskan Tanpa Dibebaskan (DNAA).

“Semua Notis Saman yang telah dikeluarkan adalah berdasarkan kepada kadar kompaun semasa yang terdapat dalam sistem mySIKAP JPJ, terhadap kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334), serta Kaedah-Kaedah dan Perintah-Perintah di bawahnya, termasuklah kes yang masih dalam tindakan Senarai Hitam (blacklist).

“Tawaran ini turut diberikan kepada semua Notis Saman yang masih aktif dan tempoh kompaunnya masih berkuat kuasa, dengan syarat urusan pembayaran tersebut dilakukan dalam tempoh yang dinyatakan iaitu 9 Disember sehingga 12 Disember 2021, di semua pejabat negeri, cawangan JPJ dan UTC JPJ, di seluruh negara, kiosk JPJ serta secara atas talian melalui portal mySIKAP JPJ,”kata JPJ.

Menurutnya lagi, walau bagaimanapun, bagi pesalah-pesalah lalu lintas yang telah disenarai hitam (blacklisted), pesalah dikehendaki untuk hadir sendiri di kaunter JPJ, bagi tujuan proses dokumentasi semula, sebelum sebarang urusan pembayaran dapat dilakukan. Oleh itu, orang ramai disarankan untuk membuat semakan status saman terlebih dahulu, terutama rekod yang melibatkan saman AES (melalui portal mySIKAP JPJ), atau di mana-mana kaunter pejabat JPJ, agar dapat mengambil peluang pengurangan saman yang akan diberikan ini.

The post JPJ tawar 80% diskaun saman boleh dikompaun mulai 9-12 Dis sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia appeared first on Paul Tan’s Automotive News.