Automotive Maintenance

Ducati Desert X didedah – jentera dual purpose 937 cc

Ducati Desert X 2022 akhirnya didedahkan secara rasmi dan ia menyaksikan rekaan yang tidak lari jauh daripada model konsep yang ditunjukkan pada tahun 2019. Motosikal ini mahu diketengahkan sebagai jentera dual purpose sebenar, dan membawa rekaan seperti jentera lumba rali tahun 80-an.

Selain tangki bahan api di bahagian hadapan yang berkapasiti 21 liter, motosikal ini juga boleh ditambah dengan tangki lapan liter di bahagian belakang. Apabila bahan api dalam tangki hadapan mencecah paras rendah tertentu, pengguna boleh memindahkan bahan api dari tangki belakang dengan butang kawalan yang disediakan.

Kuasa penggerak datang daripada enjin v-twin Testastretta 937 cc yang mampu menghasilkan 110 hp pada 9,250 rpm dan 92 Nm tork pada 6,500 rpm. Meskipun mempunyai persamaan dengan Multistrada V2, transmisi enam kelajuan pada Desert X ini telah diubah dengan nisbah gear satu dan dua yang lebih pendek.

Kelebihan utama Desert X adalah prestasi tunggangan kedua-dua, atas jalan biasa dan offroad. Untuk itu, ia disediakan dengan enam mod tunggangan termasuk Sport, Touring, Urban, Wet, Enduro dan Rally. Untuk mod Enduro, kuasa dikurangkan supaya mudah dikawal atas jalan offroad sementara dalam mod Rally pula, kuasa penuh diberi, tetapi dengan campur tangan elektronik yang kurang, sekaligus memberikan kawalan penuh kepada penunggang.

Turut disediakan adalah Engine Brake Control (EBC), Ducati Traction Control (DTC), Ducati Wheelie Control (DWC), Ducati Quick Shift (DQS) Up & Down dan Cornering ABS (ada tiga tahap dan boleh ditutup terus apabila dalam mod Enduro dan Rally).

Informasi penting motosikal dipaparkan pada skrin TFT-LCD lima inci dan fungsi sambungan bluetooth kepada telefon pintar disediakan sebagai pilihan tambahan. Pengguna juga boleh memilih dua mod paparan pada unit instrumen ini.

Saiz rim Desert X mengikut seperti jentera offroad dengan saiz 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, dengan merupakan unit spoked dan dibalut tayar Pirelli Scorpion Rally STR. Brek adalah daripada Brembo, dengan tetapan cakera berkembar 320 mm serta angkup M50 di hadapan dan cakera 265 mm dan angkup dua piston di belakang.

Suspensi pula menggunakan unit daripada Kayaba dan boleh dilaras sepenuhnya untuk pra beban, mampatan dan lantunan. Bahagian hadapan menggunakan fork USD dengan jarak gerak 230 mm manakala bahagian belakang menggunakan monoshock dengan jarak gerak 220 mm. Tinggi Desert X dari tanah adalah 250 mm manakala tinggi tempat duduknya adalah 875 mm dalam keadaan standard. Berat keseluruhan adalah 202 kg.

The post Ducati Desert X didedah – jentera dual purpose 937 cc appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Did you miss our previous article…
https://karltwiford.net/?p=5076